1.0 SEJARAH PENGGUNAAN BAHAN BERASASKAN
TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN
Dekad 1959 mencatatkan sejarah penggunaan teknologi
maklumat pertama di sekolah dengan penggunaan perisian IBM 650, pada
pertengahan 1970an terdapat pergerakan yang menjurus ke arah computer-based instruction (CBI) yang
juga dikenali sebagai computer-assisted
instruction (CAI). Pengenalan bahasa komputer Coursewriter yang mengkhusus kepada pembinaan perisian kursus atau
perisian pengajaran.Penggunaan teknologi maklumat ini ialah untuk menyokong
pembelajaran masteri melalui sistem Computer-Managed
Instruction (CMI). Pada tahun 1977, diperkenalkan Komputer Mikro pertama di
sekolah.Sumber berasaskan komputer tidak lagi bergantung kepada bahan luar
sekolah seperti pejabat pendidikan daerah dan syarikat swasta.
Guru berupaya menentukan apa yang
mereka buat dengan komputer justeru membolehkan pengurusan pendidikan
berasaskan sekolah menjadi lebih mudah. Perisian komputer mikro diperkenalkan
dekad 1980an, ini merupakan sebahagian daripada penggunaan teknologi maklumat,
pembangunan alat pengarangan untuk pembangunan perisian kursus (courseware
authoring tools) diperkenalkan. Namun
kesedaran betapa sukar bagi guru meluangkan masa menggunakan alat pengarangan
untuk membangunkan perisian kursus menyebabkan kecenderungan terhadap
pembangunan kursus menjadi semakin pudar menjelang akhir 1980an. Penekanan terhadap penilaian kursus
meningkat apabila guru menganggap adalah lebih mudah membeli perisian kursus
berbanding membangunkannya sendiri. Pergerakan ke arah literasi komputer
bermula dengan penekanan kepada kemahiran menggunakan proses kata dan
pengaturcaraan. Perkembangan ini memuncak pada tahun 1985 dan menimbulkan
anggapan bahawa murid yang tidak mempunyai literasi komputer yang tinggi akan
ketinggalan.
Pada tahun 1990an, literasi
komputer disisih kerana para pendidik menganggap bahawa literasi komputer tidak
dapat dihubungkan kepada mana-mana kemahiran mata pelajaran yang
khusus.Menjelang 1990 peningkatan penggunaan sistem pembelajaran bersepadu
(ILS) melalui peningkatan penggunaan sistem rangkaian serta pembangunan dan
pembangunan multimedia.
Dekad 1990an mencatat sejarah
penting apabila penggunaan secara meluas internet, minat terhadap keupayaan
menggunakan teknologi maklumat untuk berkomunikasi di kalangan pendidik
meningkat dan telah dapat mencetus penekanan terhadap literasi teknologi bagi meningkatkan
kualiti pendidikan.Justeru, pada tahun 2000 sistem berasaskan simulasi, robotics dan situasi virtual (virtual
reality) diberi penekanan dalam mencetus kreativiti pelajar di sekolah.
2.0 APA ITU INTEGRASI ICT?
Menurut Pisapa (1994), integrasi
ICT dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk
memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti
digabungjalin bersama kaedah pengajaran. Guru perlu mengintegrasi ICT untuk
memberi nilai tambah kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Integrasi ICT
dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas
iaitu menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk
meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan
pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001).
Matlamat utama
mengintegrasi ICT dalam kurikulum adalah untuk membantu murid memperkembangkan
kebolehan dari segi mengguna, mengurus dan memahami ICT. Adalah penting bagi
murid untuk menguasai kebolehan-kebolehan ini semasa proses pembelajaran dalam
setiap bidang kurikulum (Jonassen,1996). Peranan ICT dalam P&P akan membawa
kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian.
Namun begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini.
Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus
menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar
menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperoleh hasil yang
bertepatan dengan isi kandungan.
3.0 MENGAPA PERLU INTEGRASI ICT?
Beberapa kajian (Abdul Rahim,
1998a; 1998b) telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa stail pembelajaran di
kalangan murid.Ada yang lebih selesa belajar secara konkrit berbanding dengan
secara abstrak. Ada yang dikategorikan sebagai ‘field dependent’ berbanding
dengan murid ‘field independent’.(Abdul
Rahim Saad, 2000). Aktiviti-aktiviti pengajaran bagi murid yang suka secara
abstrak atau tergolong dalam ‘field independent’ adalah mudah tetapi bagi murid
yang belajar secara konkrit atau tergolong dalam ‘field dependent’ mereka akan
mudah faham seperti beberapa konsep, prinsip, peraturan dan hukum sekiranya
terdapat pelbagai bahan ilustrasi, rajah, latihan atau amalan. Ini bermakna
murid-murid ini diberi peluang menggunakan kesemua panca indera semasa proses
pembelajaran berlaku.
Dalam keadaan ini
terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian
dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia di samping
bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan
dengan menggunakan bahan visual grafik,
teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman
pelajar terhadap sesuatu konsep.
Penggunaan internet
dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk
meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui
portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkan
sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat memberi kefahaman yang lebih kepada
murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran contohnya dalam eksperimen sains, guru
hanya menunjukkan satu-satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal
pendidikan mereka boleh berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di
dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid mendapat banyak bahan baru
berbanding dengan buku teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya,
2001).
Melalui penggunaan komunikasi
elektronik (e mail), net meeting, chat room dan sebagainya guru dan murid dapat
bertukar-tukar idea sesama sendiri atau dengan guru dan pelajar dari sekolah
yang lain. Pertukaran maklumat dengan sekolah dari luar negara akan lebih
digalakkan memandangkan faedah dari segi meningkatkan komunikasi guru dan
murid di samping mendapat ilmu baru
mengenai kebudayaan dan negara masing-masing.
Rosenberg (2001)
berpendapat integrasi ICT dalam P&P memberikan peluang kepada guru untuk
memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid.Pembelajaran
ini memfokuskan pembelajaran dalam konteks aktiviti masalah sebenar dan
meletakkan pelajar sebagai penyelesai masalah.Melalui penggunaan ICT pelajar
dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran pemprosesan
perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan menggunakan alat-alat
teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan melahirkan
pelajar yang lebih bersedia dan yakin
untuk memasuki alam pekerjaan.
4.0 STRATEGI PENGAJARAN DALAM MENGGUNAKAN ICT
4.1 Model Sebagai Pengguna ICT dalam
Pentadbiran dan Memberi Respons
Antara strategi pengajaran yang
boleh diterapkan oleh guru dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran
ialah menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons
kepada perubahan. Setiap guru harus menunjukkan watak yang bercirikan model ICT
supaya para pelajar lebih tertarik dengan gaya atau kaedah penyampaian maklumat
yang dilakukan. Dengan ini, para pelajar akan berasa lebih senang untuk
menerima maklumat dengan lebih cepat, padat dan ringkas. Di samping itu, dengan
adanya model sebagai penyampai maklumat, sesi pengajaran dan pembelajaran juga
dapat berjalan dengan lebih efisien berbanding tanpa menggunakan apa-apa bahan
bantu mengajar. Hal ini demikian kerana setiap pelajar mempunyai tahap
pemikiran yang berbeza dan memerlukan cara pembelajaran yang sesuai dengan
tahap pemikiran mereka sendiri. Ada sesetengah pelajar lebih suka belajar
dengan menggunakan ICT kerana lebih menyenangkan untuk memahami maklumat yang
disampaikan.
Untuk menerapkan budaya
ICT di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya disediakan. Polisi ini
membantu merekabentuk dan mengurus program ICT bagi membolehkan guru dan
pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif.Bagi melaksanakan polisi dan
matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus menyediakan pelan
pembangunan.Pelan ini mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti strategi
pemantauan dan penilaian; spesifikasi tentang pemilihan pembiayaan serta
pembelian perisian dan perkakasan, kurikulum yang digunakan dan perancangan
untuk penggantian serta pembinaan peralatan secara berterusan.
4.2 Pembelajaran yang Mengaplikasi Teori
Behaviorisme dan Kognitivisme
Selain itu, strategi pengajaran
yang harus digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah
pembelajaran yang mengaplikasi teori behaviorisme dan kognitivisme. Kaedah ini
merupakan pembelajaran tutorial yang menggunakan ICT untuk menyampaikan
kandungan pelajaran. Aktiviti ini merangkumi demonstrasi, fenomena yang
menggunakan perisian CD Rom, laman web yang disimpan di dalam cakera keras,
latihan yang dikawal oleh sistem dan pembelajaran ekspositori. Sebahagian besar
perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial direka dalam
bentuk berdasarkan kepada model tradisional P&P, model transmisi yang
memperlihatkan guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid sebagai
penerima. Adalah dicadangkan guru perlu menilai setiap perisian yang sesuai
sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran serta melakukan
persediaan yang rapi dalam penyediaan peralatan ICT. Kumpulan pelajar yang
cemerlang dan lemah haruslah dibahagikan supaya memudahkan guru membuat
penilaian diakhir sesi pengajaran. Kumpulan yang lemah akan diberi latihan yang
berbentuk latih tubi sementara yang cemerlang diberi latihan berbentuk
pengayaan. Kesilapan dalam memberikan pertimbangan boleh mengakibatkan
pembaziran masa dan tenaga serta menghalang penggunaan kemudahan ICT yang lebih
produktif.
Tambahan itu, teori ini
memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman
pembelajaran yang autentik dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi
sosial. Melalui pendekatan teori pembelajaran ini, guru berperanan sebagai
fasilitator dalam mengendalikan proses P&P dan menggunakan ICT sebagai
alat. Pelbagai strategi pengajaran digunakan untuk menjana idea serta
meningkatkan kemampuan murid untuk memanipulasikan maklumat yang telah
dikumpul.
4.3 Pembelajaran Secara Penerokaan
Pembelajaran secara penerokaan juga
boleh digunakan oleh guru untuk menghubungkan antara teori konstruktivisme
dengan pengajaran dan pembelajaran.Kaedah pembelajaran ini membolehkan
murid-murid mencari dan mengakses maklumat daripada ensaiklopedia multimedia
atau bahan-bahan daripada internet.Melalui pengumpulan bahan-bahan ini,
maklumat akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian
masalah. Dalam proses pembelajaran ini guru perlu menyediakan soalan-soalan
terbuka untuk menjana pemikiran murid-murid dan menggalakkan pembelajaran
secara hafalan (rote learning). Peranan guru dalam memantau penggunaan aplikasi
pemprosesan perkataan, lembaran kerja dan persembahan adalah perlu untuk
mengelakkan pemesongan tumpuan murid daripada perkara yang lebih penting.
Di samping itu,
penggunaan ICT untuk pembelajaran penerokaan berlaku apabila ICT digunakan
sebagai medium untuk mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, Internet,
gerbang maklumat dan sebagainya. Ia juga menjadi medium untuk mengalami,
mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi dalam kalangan diri
pelajar itu sendiri. Melalui kaedah penerokaan dalam pengajaran dan
pembelajaran juga membolehkan pelajar melihat demontrasi sesuatu kejadian yang
urutan babaknya boleh dikawal oleh mereka.Justeru, dalam pembelajaran
penerokaan, murid juga boleh mengawal dan menentukan maklumat yang diterima
melalui ICT.Ini berbeza dengan pembelajaran tutorial di mana murid hanya
menerima bahan pelajaran yang dikawal dan ditentukan oleh sistem.
4.4 Pembelajaran Secara Kolaboratif
Selain itu, pembelajaran
kolaboratif di dalam kelas juga merupakan salah satu strategi pengajaran yang
boleh dilakukan oleh para guru.Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan
guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat
dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan
animasi. Ini akan mewujudkan hubungan kerja berpasukan di kalangan murid di
samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun begitu guru perlu
menyediakan garis panduan yang jelas dan terperinci untuk memastikan disiplin
murid semasa penggunaan e-mail, chat room dan sebagainya dalam pembelajaran
kolaboratif. Penilaian boleh dijalankan oleh guru dan kumpulan pebincangan
apabila hasil dibentangkan di dalam kelas. Ini akan menggalakkan percambahan
pemikiran dan memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi murid-murid.
Strategi guru
menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran harus selaras dengan
isi kandungan mata pelajaran dan menekankan implikasi atau hasil pembelajaran
yang diharapkan berdasarkan tahap murid. Kaedah kolaboratif ini mempunyai
kelebihan dalam menggunakan ICT. Antaranya ialah dapat memberi peluang kepada
pelajar untuk menentukan haluan dan kemajuan pembelajaran masing-masing,
mendorong pelajar terlibat secara lebih aktif dalam pembelajaran, memberi
peluang kepada pelajar untuk menangani masalah sebenar di dalam kelas dan
memberi peluang kepada guru menerapkan teori pembelajaran moden seperti constructivism, multiple intelligence
dan lain-lain.
4.5 Menggunakan Teknologi Maklumat
Seterusnya, setiap guru harus
mempunyai pengetahuan tentang teknologi maklumat yang hendak digunakan semasa
proses pengajaran. Oleh itu guru haruslah menguasai sepenuhnya kemahiran
menggunakan teknologi maklumat agar dapat membantu para pelajar. Guru perlulah
menggunakan kemahiran teknologi maklumat untuk mempelbagaikan cara pengajaran
bagi menarik minat pelajar untuk belajar serta memudahkan pelajar untuk
memahami apa yang diajar. Penggunaan teknologi maklumat juga dapat membantu
interaksi antara pelajar dengan guru sewaktu pengajaran dan pembelajaran
berlaku.
Namun perubahan
teknologi terlalu pantas untuk diikuti oleh guru. Sejarah menunjukkan anjakan
kepada perubahan teknologi komputer adalah terlalu pantas. Perubahan teknologi
ini tidak memungkinkan guru untuk mengikuti kesemuanya, mempelajarinya dan
mengaplikasikannya ke dalam bilik darjah. Oleh itu, guru harus bersedia untuk
mengadaptasi dan mempelajari teknologi sejauh mungkin mengikut keperluan dan
penggunaan di dalam bidang pendidikan. Tambahan pula, guru sentiasa penting di
dalam pendidikan. Era teknologi masa kini memerlukan guru yang tahu menggunakan
teknologi (technology savvy), pengajaran berpusatkan pelajar dan juga guru
sebagai moderator kepada proses pembelajaran. Oleh itu, guru haruslah menitikberatkan
teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan perkembangan
kemajuan.
4.6 Pembelajaran Secara Aplikasi
Internet dapat diaplikasikan dalam
pendidikan melalui aktiviti-aktiviti samada dalam tugasan harian atau yang
melibatkan proses P&P. Di samping itu, ICT juga membantu pelajar untuk
menyiapkan tugasan dengan cara lebih efektif berikutan kemudahan mengakses maklumat
amat mudah dilakukan. Hal ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang
digunakan di negara ini adalah mengikut peredaran masa kerana perlaksanaan
pendidikan adalah berasaskan teknologi moden. Evans dan Nation (2000)
telah menyatakan bahawa penggunaan inovasi teknologi baru termasuk internet
telah banyak memberi sumbangan dalam sistem pendidikan antaranya adalah
menyediakan peluang untuk penambahbaikan mutu pendidikan, menyokong
untuk memenuhi kehendak individu dalam program pendidikan, menyediakan peluang
untuk belajar dengan luas dalam konteks sumber asli dan menyediakan alat yang
membolehkan guru pelatih meningkatkan kuasa dan proses kognitif.
Charp (2000), pula
menyatakan bahawa kemajuan internet telah membawa perubahan positif kepada cara
guru mengajar dan murid belajar, berkerja, berkomunikasi dan bermain. Sebagai
contoh, guru boleh mengemukakan masalah yang lebih mencabar supaya dapat
menguji minda pelajar ke tahap metakognisi. Selain itu, pelajar juga akan dapat
memberi tumpuan sepenuhnya apabila melibatkan
pembelajaran yang menggunakan teknologi canggih seperti video dan
sebagainya. Revolusi internet yang wujud masa kini jelas menunjukkan bahawa
internet bukan sahaja menjadi alat untuk mencari maklumat secara global malah
menjalin dan merapatkan hubungan manusia untuk berkomunikasi.
4.7 Pembelajaran Secara Komunikasi
ICT juga berfungsi sebagai alat
pemudah komunikasi kerana ia digunakan untuk membolehkan murid dan guru
berhubung walaupun berada di lokasi yang berbeza dalam sesuatu masa. Komunikasi
yang dapat dilakukan adalah dengan cara menghantar, menerima dan berkongsi
maklumat melalui pelbagai medium seperti email,
facebook, skype dan sebagainya. Mail Elektronik (E-mel) merupakan antara
perkhidmatan internet yang digunakan dengan meluas di seluruh dunia. Selain
itu, listservs,News groupsdan Chat juga merupakan perkhidmatan
internet yang membolehkan kita berkomunikasi secara berkumpulan yang
mana perbincangan dapat dilakukan bagi memudahkan semua orang menyelesaikan
sesuatu masalah.
Dalam konteks
pembelajaran di sekolah, perbincangan secara berkumpulan amat ditekankan kerana
dengan melakukan perbincangan akan dapat meningkatkan pengetahuan seseorang
serta dapat melibatkan pelajar secara aktif dalam membincangkan sesuatu
perkara. Selain itu, kkomunikasi bukan sahaja melibatkan perbincangan atau
menghantar email, malah komunikasi
juga dapat disampaikan melalui video, grafik, serta animasi. Menurut kajian
yang dilakukan oleh pakar bahawa penghasilan video yang menarik serta dapat menarik
perhatian orang ramai adalah video yang dapat menerapkan nilai grafik dan
animasi yang menarik. Oleh itu, guru-guru sepatutnya menggunakan elemen ini
sebagai satu platform untuk menarik minat pelajar mereka dalam member tumpuan
semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku.
Komunikasi secara ICT
juga dapat membuka minda pelajar berikutan perbincangan yang dilakukan boleh
melibatkan pakar di dalam dan luar negara. Hal ini seterusnya dapat
meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran yang bersifat secara
global manakala perbincangan secara berkumpulan juga membuka lembaran baru bagi
pelajar untuk berfikir diluar kotak dengan idea-idea baru terbina apabila
pelbagai pendapat diberikan oleh rakan perbincangan.
5.0 PERANAN GURU DALAM PENGGUNAAN TEKNOLOGI
MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Guru
memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan pencapaian murid dari segi
akademik mahupun sahsiah. Gagal seorang doctor, mati seorang pesakit, mati
seorang guru, rosak satu generasi. Ayat tersebut mempunyai maksud yang mendalam
bagi seorang guru, bagi seorang pendidik yang menentukan generasi yang akan
datang. Kemajuan dalam bidang ICT telah
mempengaruhi corak pengajaran dan pembelajaran di Negara kita.Kemajuan ini
turut menarik pencapaian murid ke tahap yang lebih baik.Jadi seorang guru perlu
memainkan peranannya dengan mahir dengan teknologi terkini supaya boleh
mengajar murid secara berkesan.
Peranan
guru yang pertama ialah memotivasikan murid. Seorang guru yang mahir dapat menarik
perhatian murid semasa mengajar.Kesan visual yang menarik mampu menarik minat
murid dan menggalakkan mereka untuk lebih aktif di dalam kelas. Visual dan cara
penyampaian yang menarik akan membantu murid lebih fokus di dalam kelas. Guru yang mahir dalam ICT juga mampu
melibatkan murid melalui kerja-kerja penghasilan. Penghasilan kerja di sini
bermaksud penghasilan kerja berasaskan teknologi termasuk pemproses
kata,hypermedia,grafik komputer dan telekomunikasi. Murid akan menyukai
aktiviti ini kerana bukan sahaja dapat menambahkan ilmu, bahkan meningkatkan
lagi kreativiti, dan keyakinan diri. Hasil kerja yang baik pula akan membuat
murid bangga kerana mereka mampu menghasilkan kerja yang professional.
Peranan yang kedua pula ialah
menyokong pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran.Antara pendekatan
pengajaran baru yang dapat memanfaatkan teknologi maklumat termasuklah
pembelajaran koperatif. Pembelajaran dalam kumpulan kecil yang berasaskan
tindakan koperatif dapat dipertingkatkan melalui penggunaan multimedia, serta
penghasilan projek kecil hypermedia, penyelidikan dan interaksi secara on-line.
Peranan yang ketiga ialah
meningkatkan produktiviti guru itu sendiri.Apabila seorang guru mahir
menggunakan teknologi maklumat, guru tersebut dapat mengurangkan beban
pengurusan yang semakin meningkat.guru dapat mengurangkan masa bagi penyimpanan rekod dan
persediaan, mereka dapat menumpu lebih kepada menganalisa kehendak pembelajaran
murid berinteraksi dengan murid. Produktiviti guru dapat dipertingkatkan
dengan adanya kemahiran melalui latihan dalam menggunakan pemproses kata,
hamparan kerja, persembahan elektronik, pengkalan data, penerbitan atas meja,
komunikasi internet dan e-mail.
Peranan yang
keempat pula ialah meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk era maklumat.
Murid perlu mempelajari kemahiran belajar yang dapat menyediakan mereka untuk
menjadi pelajar sepanjang hayat dalam masyarakat berinformasi. Antara
kompetensi yang perlu untuk tujuan tersebut termasuklah literasi tentang
teknologi. Ini dinyatakan melalui piawaian
National Education Tecnology Standards for Students. Litersai maklumat, Johnson dan
Eeisenberg (1996) menyenaraikan enam kemahiran maklumat yang perlu dikuasai
murid, iaitu keupayaan mendefinisikan tugasan, strategi mencari maklumat,
kemahiran lokasi dan mengakses maklumat, kemahiran menggunakan maklumat,
kemahiran mensintesis dan kemahiran menilai maklumat. Literasi visual,
masyarakat kini semakin banyak menggunakan perwakilan visual untuk menyampaikan
maklumat. Sehubungan dengan itu guru perlu menyedari keperluan murid
mempunyai literasi visual yang lebih baik.
6.0 KESIMPULAN
Integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh
di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Sekolah tidak ada
pilihan lain melainkan menerima perubahan dan fenomena ICT serta guru-guru
perlu cepat menguasai ilmu dan ketrampilan ICT untuk diterapkan di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu penglibatan pemimpin sekolah dalam
membina polisi, pelan pembangunan ICT dan sokongan terhadap program pembangunan
staf adalah menjadi teras utama. Sokongan dan sumbangan pihak luar harus
dilihat sebagai satu peluang untuk memantapkan penggunaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.
Rujukan
http://www.docstoc.com/docs/51365728/Integrasi-Teknologi-Informasi-dan-Komunikasi-dalam-Pembelajaran
No comments:
Post a Comment